Sahabat Ilmu

Ahad, 18 November 2012

KRONOLOGI PERISTIWA HIJRAH

Da`wah Islam ke Luar Kota Makkah

 

Ta’if
Setelah semakin kuat penentangan oleh orang-orang kafir Makkah, Baginda kemudiannya pergi ke Ta’if dengan harapan untuk menyampaikan da`wah. Baginda telah ke Taif pada bulan Syawwal tahun ke-10 kenabian. Jarak Ta’if dari Makkah ialah sejauh 60 batu. Baginda pergi dan balik berjalan kaki dengan ditemani pembantunya, Zaid bin Harithah.

Setiap kali Baginda berjumpa dengan kabilah di jalan, maka Baginda akan mengajak mereka kepada Islam. Namun tidak satu pun kabilah yang menyahut ajakan Baginda. Apabila sampai di Ta’if, Baginda berjumpa dengan 3 orang bersaudara dari bani Thaqif. Ketiga-tiga mereka telah mengejek dan menghina Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

Baginda tinggal di Ta’if selama 10 hari. Sepanjang tempoh itu, semua orang kenamaan telah Nabi jumpa. Tetapi semua mereka telah menghina Nabi. Malah mereka menyuruh khadam-khadam mereka membaling batu kepada Nabi ketika Nabi hendak keluar dari Ta’if. Tumit Nabi terkena batu sehingga kasut Baginda dipenuhi darah. Zaid bin Harithah yang cuba melindungi Nabi, telah terkena batu di kepalanya.

Nabi telah dihambat sejauh 3 batu dari Ta’if sehinggalah Nabi masuk ke kebun `Utbah dan Shaybah yang merupakan 2 beradik anak lelaki Rabi`ah. Di kebun itu, Nabi duduk di bawah pohon kurma untuk menenangkan diri. Lalu Baginda pun berdoa kepada ALLAH:

“Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, ENGKAU adalah TUHAN orang-orang yang lemah, ENGKAU adalah TUHANku, kepada siapa ENGKAU serahkan aku ini? Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan menyerangku? Atau adakah kepada musuh yang ENGKAU serahkan urusanku kepadanya? Jika ENGKAU tidak memurkaiku, maka aku tidak akan mempedulikannya, akan tetapi kesejahteraan daripada-MU adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-MU yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-MU menimpa kepadaku atau ENGKAU menjadi murka kepadaku. Bagi-MU keredhaan sehingga ENGKAU benar-benar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-MU jua.”
Walaupun Baginda sangat sedih dengan apa yang berlaku di Ta’if, namun telah berlaku beberapa peristiwa menarik sepanjang perjalanan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ke Makkah. Peristiwa dipeluk oleh seorang khadam yang beragama Nasrani di kebun tempat Nabi singgah, didatangi Jibril beserta malaikat penjaga bukit ketika di Qarnul Manazil dan dirombongi oleh sekumpulan jin untuk mendengar ayat-ayat al-Qur’an ketika Baginda sampai di Lembah Nakhlah, telah menaikkan semangat Baginda sallAllahu `alaihi wasallam untuk meneruskan da`wah dan merancang strategi baru.
Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Individu

Pada bulan Zulkaedah tahun ke-10 kenabian, Nabi telah kembali ke Makkah untuk memperbaharui seruan Islam kepada kabilah-kabilah dan individu-individu. Seperti biasa, Makkah akan dikunjungi oleh kabilah-kabilah dari luar sempena musim haji pada bulan Zulhijjah. Sebenarnya Nabi telah berdakwah kepada banyak kabilah yang datang ke Makkah pada musim haji sejak tahun ke-4 kenabian lagi. Tetapi tidak satu kabilah pun menerima dakwah Baginda. Namun terdapat beberapa individu menerima dakwah Baginda dan masuk Islam.

Pada musim haji tahun ke-11 kenabian, Nabi telah bertemu dengan 6 orang pemuda dari Yathrib. Mereka tertarik dengan seruan Nabi kerana mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi akhir zaman yang akan keluar dari mulut-mulut orang Yahudi di Yathrib. Mereka pulang ke Yathrib dalam keadaan masih belum masuk Islam, tetapi mereka telah membawa perkhabaran tentang Nabi akhir zaman kepada seluruh masyarakat Yathrib. Jadi, seluruh penduduk Yathrib mula maklum berkenaan Rasulullah.

Perkahwinan Rasulullah SAW Dengan `A’isyah

Pada bulan Syawwal tahun ke-11 kenabian, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah berkahwin dengan `A’isyah radhiAllahu `anha.
Isra’ Mi`raj

Pada saat dakwah Nabi kelihatan seperti samar masa depan, ALLAH telah menghadiahkan Nabi dengan suatu peristiwa agung iaitu Isra’ Mi`raj. Ada beberapa pandangan tentang bila berlakunya Isra’ Mi`raj. Sheikh Safiyyu ar-Rahman al-Mubarakfuri iaitu penulis ar-Rahiq al-Makhtum memilih samada ia berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian, atau bulan Muharram tahun ke-13 kenabian, atau bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian.

Di dalam peristiwa yang agung ini, Nabi telah diperjalankan secara dari Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, lalu diangkat ke Sidratul Muntaha untuk mengadap ALLAH. Setelah menerima pensyariatan solat fardhu sebanyak 5 kali sehari semalam, Nabi pun pulang semula ke Makkah. Peristiwa ini berlaku pada satu malam dan ia benar-benar menguji keimanan orang-orang Islam pada ketika itu. Ada yang setelah mendengar peristiwa ini tetap beriman malah semakin teguh iman mereka, ada yang ragu-ragu dan ada yang terus murtad. Abu Bakr digelar as-Siddiq kerana beliau adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata Nabi tanpa ragu.

Bai`ah Pertama

Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, Nabi telah membuat pertemuan dengan 12 orang lelaki dari Yathrib, lanjutan dari pertemuan pertama di `Aqabah, Mina pada tahun ke-11 kenabian. Kesemua 12 orang lelaki itu telah bersetuju masuk Islam dan berbai`ah dengan Nabi. Nabi telah menghantar seorang pemuda bernama Mus`ab bin `Umair untuk mengikut rombongan 12 orang tersebut pulang ke Yathrib. Tujuannya ialah supaya Mus`ab bin `Umair dapat mengajar orang-orang yang masuk Islam di Yathrib tentang syari`at-syari`at Islam.

Sebelum tiba musim haji tahun ke-13 kenabian, Mus`ab pulang ke Makkah bertemu Nabi dengan membawa berita yang menggembirakan. Banyak penduduk Yathrib dari pelbagai perkampungan menerima ajaran Islam.

Bai`ah Kedua
Pada musim ke-13 kenabian, seramai 70 orang lelaki dan 2 orang wanita beragama Islam dari Yathrib datang ke Makkah untuk mengerjakan haji. Mereka datang bersama jemaah haji lain yang masih syirik. Kali ini telah berlaku bai`ah kedua dengan kandungan perjanjian yang lebih tegas dan serius iaitu dalam hal taat setia atas segala suruhan Nabi dan sanggup melindungi Nabi walau dalam keadaan apa sekali pun. Seramai 12 orang naqib telah dilantik bagi memikul tanggungjawab memimpin kaum mereka ketika Yathrib. Daripada 12 orang itu, 9 orang dilantik dari kabilah Khazraj dan 3 dari kabilah Aus.

Permulaan Hijrah

Setelah Bai`ah `Aqabah kedua, Islam mula mendapat tapak yang kukuh untuk disebarkan di tanah Arab, iaitu di Yathrib. Walaupun belum pasti dengan masa depan berhijrah ke Yathrib, namun atas keimanan yang sangat tinggi, penduduk Makkah yang beragama Islam sedikit demi sedikit telah berhijrah ke Yathrib. Risikonya terlalu tinggi. Nyawa, keluarga dan harta terpaksa dikorbankan demi penghijrahan ini.

Banyak sekatan telah berlaku terhadap ummat Islam ketika hendak melakukan hijrah. Sekatan dilakukan kerana Musyrikin Makkah khuatir dengan dengan perkembangan Islam yang mula diterima oleh penduduk Yathrib. Antara yang masyhur diceritakan ialah bagaimana kisah Abu Salamah, Ummu Salamah dan anaknya yang dipisahkan oleh kabilah dan keluarga mereka. Iaitu Abu Salamah dilepaskan ke Yathrib, manakala Ummu Salamah ditahan oleh keluarganya, dan anaknya ditahan oleh keluarga Abu Salamah. Selepas setahun barulah Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya. Ummu Salamah lalu pergi mengambil anaknya yang ditahan oleh keluarga suaminya dan terus ke Yathrib yang jauhnya 500 km dengan berjalan kaki tanpa ada orang pun yang menemani mereka.

Kisah Suhaib yang ditahan oleh kafir Quraisy lalu dilepaskan Suhaib kerana Suhaib sanggup memberikan kesemua hartanya untuk melepaskannya. Dan kisah `Iyash yang ditipu mengatakan bahawa ibunya mengugut untuk berjemur di tengah panas, apabila beliau pergi untuk menemui ibunya, lalu `Iyash ditangkap serta diikat lalu diarak di kota Makkah menunjukkan cara menghukum orang yang hendak ke Yathrib. Begitulah besarnya pengorbanan para sahabat Nabi untuk menjaga aqidah mereka.

Usul Membunuh Nabi oleh Darul Nadwah (Parlimen Quraisy)
Pada hari Khamis, 26 Safar tahun ke-14 kenabian, Darul Nadwah iaitu Parlimen Quraisy telah bersidang untuk berbincang bagaimana untuk terus menghentikan dakwah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam, bukan sahaja di Makkah malah untuk menghentikan terus dari terus merebak ke lain-lain tempat. Ini kerana mereka mulai sangat risau dengan perkembangan terbaru iaitu penghijrahan orang-orang Islam ke Yathrib dan kesediaan orang-orang Yathrib membantu Nabi. Kerisauan ini timbul kerana Yathrib merupakan lokasi strategik laluan perdagangan orang-orang Makkah. Mereka risau perdagangan mereka tergugat dan amalan sembahan berhala mereka turut terencat.

Beberapa cadangan telah dikemukakan namun ditolak oleh seorang tua yang turut serta dalam mesyuarat itu. Lelaki tua itu ialah Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najd. Akhirnya cadangan Abu Jahal diterima oleh lelaki tua itu. Iaitu agar dikumpulkan lelaki yang gagah dan terhormat dari setiap kabilah untuk membunuh Nabi. Cadangan ini bukan sahaja pada pandangan mereka akan menghentikan terus dakwah Nabi, tetapi juga dapat mengelakkan dari hanya satu kabilah sahaja diperangi oleh bani `Abdul Manaf. Bani `Abdul Manaf tentu tidak berupaya untuk membalas dendam terhadap semua kabilah yang bersekutu untuk membunuh Nabi. Jika mereka meminta diat (bayaran tebusan), maka itu tentu lebih mudah dan pembesar-pembesar Quraisy sanggup membayarnya.

Parlimen Makkah setuju sebulat suara lalu masing-masing dengan keazaman yang tinggi bersiap sedia mahu melaksanakan usul tersebut.

Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.

Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.

Dalam masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat tersebut.

Bertolak dari Makkah
Apabila malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau belum.

Namun, kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi kesempurnaan perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut sebagaimana disebut di dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.

Sebelum Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau. Nabi kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin.

Dengan izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi telah pun keluar meninggalkan rumahnya.

Dari rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.

Seorang lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad sudah pun keluar meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam seperti didakwa lelaki tersebut.

Setelah mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Di Gua Thur Selama 3 Hari

Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah) terletak di Utara Makkah, namun Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang pastinya sedang menunggu Nabi.


Lokasi Bukit Thur

Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit tersebut.

Mereka berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya. Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan katanya:

“Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.”

Abu Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2 lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2 kakinya ke lubang tersebut.

Setelah keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa itu.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama, iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah (hamba Abu Bakar).

`Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila `Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula mengembala kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam, beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut, kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3 hari itu.

Dalam pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam.

Bengang dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan Makkah.

Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib (Madinah)

Selepas 3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14 kenabian. Selain Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar, `Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan tersebut. Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar itu.

Mereka berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan jalan yang jarang digunakan orang.

ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA dan rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dalam perjalanan.

Singgah di Quba’ selama 4 Hari
Pada hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’.

Di Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi, iaitu Masjid Quba’.

Sampai di Yathrib (Madinah)

Pada hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf. Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut.

Selepas selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.

Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam.

Rumah Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi.

Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri Baginda sampai bersama 2 puteri Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama mereka juga Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani oleh `Abdullah bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab masih tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang keluar dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam.

Begitulah serba ringkas kisah hijrah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Yathrib. Selepas peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini. Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih hebat.

Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali Muhammad.

Sekadar menyampaikan,
SUMBER: - muzir.wordpress.com

* Diringkaskan dengan merujuk kitab terjemahan ar-Rahiq al-Makhtum yang diterbit oleh YADIM.

Tiada ulasan: