Sahabat Ilmu

Selasa, 26 Januari 2010

Wanita berkabung kematian suami (Ihdad)

MUKADDIMAH

Ada yang mengirim soalan melalui email mengenai wanita yang berkabung setelah kematian suaminya. Oleh itu saya menjawab dengan menulis tentang artikel ini menurut Quran, Hadis dan pandangan Ulama.

DEFINASI BERKABUNG

"Wanita tidak menghias dirinya dalam keadaan tertentu dan dalam tempoh tertentu."

DALIL

لَا يَحِّلُ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْأَخِرِ أَنْ تُحِدَّ عَلَى مَيْتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk dia berkabung atas kematian seseorang lebih dari 3 hari melainkan kepada suaminya. Dia perlu berkabung selama 4 bulan sepuluh hari." (Hr Bukhari - Sahih)

HUKUM BERKABUNG

Hukum berkabung selama 4 bulan 10 hari adalah wajib (sepakat para ulama melainkan Hasan Basri)bagi perempuan yang kematian suaminya dan sunat bagi wanita yang berpisah dengan talak bain (yang mana suaminya tidak boleh rujuk pada isterinya dengan kehendaknya sahaja).

KEADAAN YANG WAJIB SEMASA BERKABUNG

Nabi saw bersabda:

المتوفى عنها زوجها لا تلبس المعصفر من الثياب ولا الممشق ولا الحلي ولا ولا تختضب ولا تكتحل
"Wanita yang kematian suaminya tidak boleh memakai pakaian yang dicelup dengan kesumba (warna merah), pakaian yang dicelup dengan warna kuning atau merah tanah, memakai barang kemas, mewarna rambut atau badan (dengan inai atau lain-lain) dan bercelak." (Hr Ahmad, Abu Daud dan lain-lain)

Ummu Atiah (Sahabiah Nabi) berkata:

كنا ننهى أن نحد على ميت فوق ثلاث إلا على زوج أربعة أشهر وعشرا ولا نكتحل ولا نتطيب ولا نلبس ثوبا مصبوغا إلا ثوبا عصب. وقد رخص لنا عند الطهر إذا اغتسلت إحدانا من محيضنا في نبذة من كست أظفار
"Kami ditegah oleh Nabi saw untuk berkabung untuk kematian seseorang lebih dari tiga hari melainkan kepada suami. Wajib berkabung untuk kematian suami selama empat bulan 10 hari. Selama itu kami tidak boleh bercelak, tidak memakai minyak wangi, tidak boleh pakai pakaian yang dicelup dengan warna melainkan pakaian asab (sejenis kain dari yaman). Kami telah dibenarkan untuk meletakkan secalit wangian setanggi kust dan azfar setelah kami mandi wajib selepas habis keluar darah haid." (Hr Bukhari dan Muslim - sahih)

Dalam kitab Mausuah Feqhiah menyebut:

"Wanita yang berkabung kematian suaminya hendaklah menjauhi setiap perkara yang dianggap perhiasan samada dari segi syara' atau dari segi adat , samada perhiasan yang ada pada badan dan pakaian, yang menarik pandangan lain seperti keluar rumah atau menerima lamaran. Ini perkara yang disepakati oleh para ulama."

Dalam mazhab syafie ada tiga perkara yang dilarang kepada wanita ini seperti berikut:

1. Pakaian yang dicelup dengan warna untuk tujuan perhiasan. Mestilah pakaian tadi menggunakan kain berwarna asal. Memakai apa jua jenis kain adalah dibenarkan selagi tidak diwarnakan dengan warna yang lain. Kain yang dicelup dengan warna lain bukan untuk tujuan perhiasan seperti warna hitam adalah dibenarkan.

2. Haram memakai barang kemas seperti cincin dan sebagainya yang diperbuat dari emas, perak dan permata.

3. Haram memakai wangian pada badan, pakaian, makanan dan celak.

Pengharaman pada perkara yang dianggap perhiasan dan bukannya pada pembersihan. Adapun pembersihan seperti mandi, gosok gigi dan sebagainya adalah dibenarkan.

ADAKAH WANITA KEMATIAN SUAMI BOLEH KELUAR RUMAH DALAM TEMPOH INI?

Wanita ini boleh keluar rumah untuk tempoh ini pada siang hari untuk menunaikan keperluannya. Ini berdasarkan hadis Jabir ra , beliau berkata:

طلقت خالتي ثلاثا فخرجت تجذ نخلها فلقيها رجل فنهاها. فذكرت ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: فجذي نخلك لعلك أن تتصدقي منه أو تفعلي خيرا
"Ibu saudaraku telah diceraikan talak 3. Semasa tempoh iddah, dia telah keluar untuk mengait buah kurma. Di tengah jalan, dia berjumpa dengan seorang lelaki yang menegahnya keluar (kerana dalam tempoh iddah). Lalu ibu saudaraku menceritakan perkara tersebut kepada Rasulullah saw. Nabi pun bersabda : Kaitlah buah kurma mu. Mudah2an kamu dapat bersedekah daripadanya atau dapat buat sesuatu yang baik. " (Hr Abu Daud dan Nasaie)

Daripada hadis ini, para Ulama mengharuskan wanita yang dalam iddah -samada diceraikan atau kematian suami- untuk keluar rumah bagi menyelesaikan urusan mereka pada waktu siang. Mereka tidak boleh keluar malam dan bermalam dirumah orang lain melainkan dalam keadaan darurat.

TEMPAT TINGGAL WANITA YANG BERKABUNG

Kebanyakan ulama termasuklah 4 mazhab berpendapat bahawa wanita yang kematian suaminya ketika dalam tempoh iddahnya (4 bulan 10 hari) wajib mendiami rumah yang dia diami bersama suaminya ketika suaminya masih hidup. Dalilnya adalah firman Allah swt:

لاَ تُخْرِجُوْهُنَّ مِنْ بُيُوْتِهِنَّ
"Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri yang diceraikan dari rumah yang telah mereka diami bersama suami mereka." (1 : at-Tahrim)

Nabi saw bersabda kepada Furaiah bintu Malik ra yang baru kematian suaminya:

امكثي في بيتك حتى يبلغ الكتاب أجله
"Duduklah di rumahmu (rumah yang telah didiaminya bersama suaminya) sehingga habis masa yang ditetapkan al-Quran (4 bulan 10 hari)." (Hr Malik)

Kesimpulan: Wanita yang kematian suaminya hendaklah mematuhi undang-undang yang telah Allah tetapkan. Semoga ilmu ini dapat disebarkan dan dikongsi agar dapat diaplikasikan.

Rujukan: Tafsir Sobuni, Mausuah Feqhiah oleh ulama Kuwait, Mughnil Muhtaj oleh Syarbini, Mu'tamad Fil Feqhis Syafie oleh Dr Muhammad Zuhaily, Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Asqalani dan lain2.

Posted by akhisalman

Tiada ulasan: