Sahabat Ilmu

Khamis, 3 September 2009

BAHAYA TAKABBUR


Jangan merasa kita ini hebat dan lebih hebat daripada orang lain. Usah terpedaya dengan anugerah dan nikmat yang diberikan kepada kita. Semua nikmat itu akan dipersoalkan kelak di padang Mahsyar. Kehebatan kita bercakap dan berhujah bukan untuk berdebat dengan para ilmuan. Tunduklah dan rendahkan diri sesama muslim kerana kita semua bersaudara. Ilmu yang tinggi juga bukan tandanya kita mulia kerana ukuran kita hanya berdasarkan Taqwa. Sejauh mana ilmu itu benar-benar menjadikan jiwa kita takut dengan Allah swt. Hiasi ilmu dengan akhlak barulah ia mewangi semerbak haruman bunga di taman. Takabbur ada tanda-tandanya seperti penyakit lain yang ada simptomnya. Elok rawat dengan segera jika ada pada diri kita.

1. Memandang kecil usaha atau kemampuan orang lain. Orang yang takabbur hanya menganggap dirinya atau kumpulannya sahaja yang hebat dan betul. Orang lain semua salah. Langsung tidak boleh menerima hasil sumbangan pihak lain kepada usaha kebajikan dan dakwah. Padanya orang lain dianggap mengancam kedudukan dan pengaruhnya.

2. Sibuk mencari kesalahan orang lain sehingga lupa kekurangan diri. Baginya tujuannya itu adalah murni dan berdiri atas nama kebenaran. Jiwa yang tidak subur dengan iman dan zikir sememangnya akan menjadi begini. Mana mungkin lidah yang basah dengan zikir dan munajat ada masa untuknya menyingkap kesalahan saudaranya yang lain. Lupakah kita dengan hadis “Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim di dunia, Allah akan menutup keaibannya di Dunia dan Akhirat”. Hati yang gelisah memikirkan nasibnya di hadapan Allah sibuk mengoreksi segala dosa dan maksiatnya bukannya kesilapan orang lain. Nampaknya dunia politiking sudah begitu dominan hinggakan ramai yang gemar mewujudkan cerita rekaan semata-mata memuaskan nafsunya yang kelaparan. Kini benang yang basah pun mampu ditegakkan!

Ingatlah! Hebatnya anda bukan kerana anda tapi sebab nikmat dan kurnia daripada Allah. Walau anda ramai pengikut yang beratur di belakang anda seperti gerombolan perang. Walau sebanyak mana tempat yang anda telah pergi di seluruh dunia untuk berdakwah dengan gaya tersendiri. Semua itu adalah kurniaan Allah yang akan dihisab. Tiada siapa yang mampu mengelak persoalan di depan Allah meskipun anda mampu mengelak-elak di dunia ini.

Nabi Adam melakukan kesalahan dengan memakan buah yang dilarang Allah di dalam Syurga lalu bertaubat maka Allah menerima taubatnya. Iblis takabbur dan enggan sujud kepada Adam setelah diperintahkan Allah dan tidak mahu bertaubat. Inilah beza antara melakukan maksiat dan meninggalkan perintah. Bezanya adalah pada sifat takabbur.

Tiada ulasan: